KUCHING: Sarawak memiliki atlet para bertaraf antarabangsa, justeru mereka perlu disediakan dengan program latihan terkini bertaraf antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan program latihan.
“Program latihan bertaraf antarabangsa untuk atlet para yang diselaraskan dengan perkembangan terkini dalam sukan dan teknologi untuk membantu mereka mencapai potensi terbaik,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Apresiasi Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.
Awang Tengah berkata, kerajaan dan sektor swasta boleh bekerjasama untuk memperkenalkan program sukan berprestasi tinggi kepada atlet para Sarawak.
“Program sukan berprestasi tinggi dengan menumpukan kepada pengambilan dan latihan atlet muda para yang berbakat itu untuk bersaing di sukan antarabangsa,” tambahnya.
