Dr Azhar bersara, rakam penghargaan kepada Kerajaan Sarawak

KUCHING: Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Datu Dr Azhar Ahmad menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas sokongan terhadap sektor pendidikan.

Jelasnya, pelbagai aspek pembangunan dan program yang dilaksanakan oleh JPNS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa mendapat sokongan daripada kerajaan negeri.

“Kita sangat berbangga atas sokongan dan kita sangat beruntung kerana mempunyai seorang pemimpin berwawasan untuk pembangunan Sarawak.

“Sudah tentu kita di jabatan memainkan peranan penting untuk menyediakan sumber manusia bagi mengisi pelbagai agenda pembangunan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Kunjungan Perpisahan terhadap Abang Johari di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini.

Dr Azhar menggalas jawatan sebagai Pengarah JPNS hampir lima tahun bermula 2018 sehingga Mac 2020 dan Mac 2022 sehingga 14 November 2024.

Bercakap mengenai pencapaian, beliau berkata, sepanjang lima tahun berkhidmat memegang jawatan itu, banyak pancapaian yang diraihnya terutamanya pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di semua sekolah-sekolah rendah di wilayah ini.

“InsyaAllah tahun 2026, kita akan meneruskan program DLP ini di sekolah menengah,” katanya.