PETROS percepat pembangunan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak

KUCHING: Pelantikan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas tunggal di negeri ini akan mempercepatkan pembangunan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, PETROS juga bakal mewujudkan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Sarawak.

Sebagai agregator gas tunggal, PETROS katanya, berperanan untuk menjalankan semua aktiviti berkaitan perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di Sarawak.
  
“Ia juga akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak lapan peratus setahun, yang merupakan elemen utama dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan dan ADUN Daro Safiee Ahmad dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
  
Memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak dengan menyumbang sumber pendapatan baharu, PETROS katanya, akan memastikan bekalan yang mencukupi dan harga gas asli berpatutan untuk pasaran di negeri ini.
 
“Ia turut memberi peluang kepada rakyat Sarawak serta syarikat tempatan mengambil bahagian dalam industri pengedaran gas asli dan meningkatkan kebajikan rakyat melalui hasil daripada industri minyak dan gas,” ujarnya.