Segerakan pelaksanaan Klinik Kesihatan, Klinik Pergigian Daerah Daro

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad mahu agensi-agensi pelaksana berkenaan dapat menyegerakan pelaksanaan Klinik Kesihatan dan Klinik Pergigian Daerah Daro yang terbengkalai.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan ‘notis perubahan’ (NOC) tambahan bagi melaksanakan Klinik Kesihatan Daro Jenis Empat bernilai RM50 juta yang akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Kedua, adalah kerja-kerja menyiapkan Klinik Pergigian Daerah Daro yang terbengkalai sebelum ini dilaksanakan Jabatan Kesihatan Malaysia bernilai RM12.08 juta.

“Memandangkan kedua-dua projek ini amat diperlukan, namun tertangguh sekian lama disebabkan oleh keperluan pertambahan peruntukan.

“Maka saya mewakili masyarakat Daro merayu agar agensi-agensi pelaksana berkenaan dapat menyegerakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.

Beliau turut menyentuh Jalan Perhubungan Desa yang diluluskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi Membina Jalan Rumah Jingga/ David Multifarm/ Rumah Seli/ Rumah Guang/ SK Singat, Sg. Lengan, Bahagian Sibu.

Safiee menzahirkan terima kasih kepada KKDW kerana telah meluluskan pertambahan kos daripada RM70 juta kepada RM80 juta, Julai lalu.

“Saya memohon jabatan berkenaan selaku agensi pelaksana dapat menyegerakan pelaksanaan projek membina jalan kerana ia penting untuk penduduk hanya bergantung kepada sungai sahaja sebagai laluan utama,” katanya.