Larangan tanaman guarana dilarang

KUCHING: Sarawak masih menguatkuasakan larangan terhadap penanaman guarana atau nama saintifiknya Paullinia Cupana, kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben.

Katanya, sehingga kini syarikat terlibat dalam pengimportan produk ke Malaysia masih tidak dapat mengesahkan pematuhannya terhadap prosedur larangan ditetapkan.

“Guarana merupakan tanaman herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil. Di bawah peratutan kuarantin tumbuhan 1981 (Peraturan 7) telah menetapkan bahawa pengimportan tumbuhan dari negara endemik bagi penyakit hawar daun Amerika Selatan termasuk Brazil adalah dilarang,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Langkah ini diambil bertujuan menjaga kepentingan industri getah Malaysia yang bernilai lebih RM18.0 bilion setahun dan penyakit hawar daun Amerika Selatan telah menyebabkan kemusnahan pada tanaman getah di negara seperti Brazil, Columbia dan Costa Rica, katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Dato Paulus Palu Gumbang (GPS- Batu Danau) di persidangan DUN hari ini.

Martin menjelaskan bahawa Kerajaan Brazil dengan jelas melarang pengeksportan benih guarana untuk penanaman dan sekiranya Kerajaan Malaysia, jabatan, agensi, mana-mana syarikat atau individu membiakkan dan mengkomersial tanaman guarana, Kerajaan Brazil boleh mengenakan amaran, sita dan denda sehingga R$10 juta Real Brazil iaitu bersamaan dengan RM7.7 juta.

“Tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal yang terlarang boleh disita, ditahan dan dihapuskan. Mana-mana individu yang membawa masuk komoditi terlarang ini boleh dikenakan saman tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua nya sekali mengikut Seksyen 19A Akta 167,” katanya.