KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan pelancaran inisiatif Sandbox Inovasi dan Teknologi Sarawak (STI Sandbox) dan Program Residensi Digital Sarawak (SDRP) untuk memacukan agenda digital Sarawak.
Beliau berkata, pelancaran inisiatif SDRP itu bertujuan menarik golongan profesional, pekerja luar, usahawan asing dan pelabur ke Sarawak.
Dengan terma fleksibel akan meletakkan Sarawak sebagai hab digital inklusif yang menarik bakat global, katanya ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa (IDECS) ke-7 Sarawak 2024 di sini.
Premier Sarawak berkata, inisiatif pertama di bawah program itu ‘De Rantau Sarawak’ akan membuka permohonan awal tahun depan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pemindahan digital di Asia Tenggara.
STI Sandbox, katanya, dibangunkan bersama rakan kongsi Sandbox Inovasi dan Teknologi Kebangsaan, SDEC, Startup Borneo dan TEGAS, bertujuan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi berasaskan ilmu pengethuan.
Beliau berkata, STI Sandbox dijangka menggerakkan inovasi dalam agritech, bandar pintar dan membudayakan industri.
Ini, tambahnya, akan meletakkan Sarawak sebagai hab keselamatan makanan dan menyokong Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030 (PCDS 2030) sejajar dengan komitmen Sarawak mencapai keseimbangan dalam kemajuan dan kelestarian inovasi.
Serentak dengan itu, katanya, inisiatif terbabit akan mengukuhkan komitmen Sarawak untuk mencapai kemajuan, berinovatif dan kesalinghubungan ekonomi digital dunia.
Beliau berkata, Sarawak komited selari dengan perkembangan di dunia dengan matlamat menjadi pemimpin wilayah dalam inovasi digital dan teknologi hijau menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai penggerak utama.
Negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan China, katanya, mengalami kesan ekonomi yang besar daripada perkembangan terbabit terutama yang digerakkan oleh AI, pembayaran digital dan perindustrian pintar.
Manakala, negara Eropah seperti Jerman dan Belanda berada di hadapan dalam pembangunan industri pintar dan aplikasi industri 4.0, katanya dan menambah, Sarawak harus selari dengan trend memacu pertumbuhan dan kelestarian di rantau ini.
Teknologi AI, katanya, adalah kunci kepada transformasi, kecekapan proses kemajuan dan meningkatkan automasi dalam pelbagai sektor.
Teknologi AI juga, tambahnya, boleh menjadi alat kepada pembangunan mampan dan bertanggungjawab dan diiktiraf sebagai pemacu Matlamat Pembangunan Mampan.
Abang Johari menegaskan, menurut Institut McKinsey Global, hasil nilai yang dijana oleh AI dianggarkan mencapai antara USD2.6 trilion dan USD4.4 trilion dalam keuntungan korporat dunia setahun.
Sektor perbankan, teknologi tinggi dan sains kehidupan akan menerima kesan ekonomi paling ketara hasil transformasi teknologi, katanya.
Beliau berkata, melalui inisiatif tenaga hidrogen, biomas dan usaha penanaman hutan, Sarawak bukan setakat mengurangkan kesan ke atas alam sekitar tetapi juga mengukuhkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
