SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak menjadi universiti awam pertama di negara ini menerima persijilan halal.
Menurut kenyataan universiti itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganugerahkan Pensijilan Halal Malaysia kepada UiTM Cawangan Sarawak pada 16 Julai 2024.
Majlis perasmian pensijilan ini disempurnakan Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz.
Perjalanan menuju kejayaan ini bermula dengan mesyuarat pertama dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) Samaraha di Bilik Mesyuarat HEP, Kampus Samarahan 2 pada 5 Februari 2024.
“Susulan mesyuarat tersebut, beberapa aktiviti dan latihan telah diadakan bagi memastikan persiapan yang rapi dan pematuhan kepada standard Halal,” menurut universiti itu.
Antara usaha kearah pensijilan halal ini termasuk, Kursus Kesedaran Halal yang dihadiri 165 peserta pada 7 Mac 2024 diikuti Kursus Pengendalian Makanan bermula pada 7 hingga 9 Mei 2024 di Kampus Samarahan.
Seterusnya Mesyuarat Zon Halal di Kampus Samarahan 2, pada 15 Februari dan 20 Mei 2024, Pra Audit oleh JAIS pada 24 Jun 2024, Audit Pensijilan Halal yang melibatkan 16 premis di kampus Samarahan dan Kampus Samarahan 2 pada 12 Julai 2024 dan Mesyuarat Penutupan Audit di Kampus Samarahan, pada 12 Julai 2024.
“Sebagai tindak balas kepada teguran audit, satu lagi Kursus Pengendalian Makanan telah diadakan pada 18 Julai 2024 untuk 12 peserta,” tambah universiti itu dan kemuncak segala usaha ini ialah penganugerahan sijil halal oleh JAKIM.
GAMBAR:UiTMCS
