KUCHING: Yang di-Petua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar secara rasmi dilantik sebagai Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Keempat.
Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai Canselor UNIMAS yang baharu berlangsung di Astana Negeri, di sini, hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir mengisytiharkan pelantikan terbabit berkuat kuasa mulai 22 Februari 2024 sehingga 25 Januari 2028.
Dr Wan Junaidi dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepadanya sebagai Canselor UNIMAS dan dengan rasa rendah hati menerima tanggungjawab besar ini.
“Saya sedar bahawa memikul amanah sebagai Canselor sebuah universiti bukan sahaja merupakan satu penghormatan, tetapi juga membawa tanggungjawab besar,” katanya.
Katanya, jawatan itu juga bukan sekadar simbol kepada universiti terbabit, tetapi juga berperanan penting sebagai penggerak aspirasi UNIMAS untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata, dengan pemasyhuran ini, maka secara rasmi memberi kuasa kepada Yang di-Petua Negeri Sarawak untuk mempengerusikan majlis konvokesyen dan melaksanakan apa-apa kewajipan seperti diperuntukan Perlembagaan Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Katanya, Yang di-Petua Negeri Sarawak mempunyai pengalaman dalam arena politik selama 41 tahun yang memberikan satu kelebihan dalam mendepani cabaran semasa menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
“Sepanjang kerjayanya sebagai ahli politik, Tun Pehin Sri dikenali kerana memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan pembangunan luar bandar, hak-hak Bumiputera,dan pemuliharaan alam sekitar,” tambahnya.
Ahmad Hata berkata, kepimpinan Yang di-Petua Negeri Sarawak turut diakui di peringkat antarabangsa dan antaranya menyumbang pembentukan ASEAN Inter-Parliamentary Caucus dan dilantik menjadi Pengerusi pertama serta satu-satunya ahli parlimen di ASEAN yang pernah dilantik menjadi Pengerusi Kaukus AIPA ASEAN
sebanyak dua kali iaitu pada 2007 dan 2018.
