JPL santuni golongan nelayan DUN Demak Laut

SANTUBONG: Seramai 243 nelayan berdaftar dengan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) mengikut statistik yang dikeluarkan pada 2023.

Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar
merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abg Hipni berkata pada tahun sama, terdapat lebih kurang 217 vesel penangkapan ikan berlesen berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, seperti direkodkan JPLS.

Katanya, majoriti vesel penangkapan ikan ini adalah vesel penangkapan ikan tradisional yang beroperasi di Zon A iaitu perairan 0 batu nautika dan ke atas.

Manakala sebanyak 24 vesel pula didaftarkan sebagai vesel zon C iaitu vesel komersial yang beroperasi tidak kurang dari 12 batu nautika dari pantai dan ke atas, ujarnya.

“Kekayaan sumber laut Malaysia sememangnya masih banyak terutamanya di Sarawak kaya dengan sumber hidupan marin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Komuniti Nelayan di Kampung Muara Tebas hari ini.

Program ini merupakan inisiatif JPLS untuk mendekati golongan sasar dan penduduk.

Menurut Hazland, sumber ikan terpelihara amat penting bagi masyarakat di DUN Demak Laut.

JPLS melepaskan sebanyak 12,000 ekor benih ikan ke perairan umum.

Ujar beliau, program pelepasan benih ikan ini penting dalam usaha memastikan kelestarian ekosistem perairan.

GAMBAR:UKAS