Inisiatif basmi masalah buta huruf

SAMARAHAN: Inisiatif Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan menganjurkan Program Pendidikan Literasi Fungsian berperanan membasmi masalah buta huruf dalam kalangan generasi berusia.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata ia salah satu usaha untuk membangunkan masyarakat luar bandar dengan menggunakan strategi gerakan membasmi kemiskinan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya itu berkata, program itu memberi peluang kepada masyarakat luar bandar mendidik generasi berusia daripada kategori buta huruf kepada satu peringkat iaitu celik huruf.

“Menerusi program ini, KEMAS yang juga jabatan paling dekat dengan masyarakat memainkan peranan sebagai agen perubahan pendidikan kepada masyarakat luar bandar.

“Saya berharap melalui program ini, pendidikan seumur hidup akan berterusan dalam diri khususnya generasi berusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Sijil Program Graduasi Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) KEMAS Daerah Simunjan (P.200 Batang Sadong) 2024 di Dewan Serbaguna Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, Kota Samarahan hari ini.

Seramai 88 peserta terlibat dalam pengajian selama dua tahun bermula 2023 dan berakhir pada Disember tahun ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarawak Anisah Saidin, Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Samarahan Muhammad Asyraf Mad Nor, Penolong Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya Abdullah Sam Yusuf dan Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Simunjan Maimumah Latip.