SAMARAHAN: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-99 menyaksikan seramai 328 graduan dari Cawangan Sarawak menerima Anugerah Naib Canselor (ANC).
Konvokesyen itu diadakan di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, di sini, bermula hari ini hingga 17 Oktober.
Menurut kenyataan UiTM Cawangan Sarawak, jumlah graduan penerima ANC terbabit paling ramai dicatatkan semenjak istiadat konvokesyen bermula pada 2010 di kampus cawangan terbabit.
ANC merupakan anugerah prestij kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian dengan mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester sepanjang tempoh pengajian.
Penerima ANC juga antara keseluruhan kira-kira 1,705 graduan konvokesyen itu yang terbahagi kepada seramai 426 orang graduan ijazah sarjana muda dan seramai 1,279 graduan diploma.
Sesi penganugerahan disempurnakan Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz dengan pecahan bilangan graduan pula seramai 303 gaduan untuk sidang pertama, 284 graduan (sidang kedua), 330 graduan (sidang ketiga), 264 graduan (sidang keempat), 284 graduan (sidang kelima) dan 242 graduan (sidang keenam).
“Istiadat konvokesyen kali ini turut menyaksikan seramai enam graduan akan menerima Anugerah Graduan Terbaik (AGT) dalam lapan kategori yang berbeza,” menurut kenyataan itu.
Penerima AGT kali didahului Izrie Hasfiezul Hashim, graduan Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi yang menerima Anugerah Graduan Terbaik (Sarjana Muda) UiTM Cawangan Sarawak.
Manakala, Nur Syamimi Sabdin daripada Diploma Pengajian Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi pula menerima Anugerah Graduan Terbaik (Diploma) UiTM
Cawangan Sarawak.
Hadir sama menyaksikan istiadat konvokesyen Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UiTM, Datuk Ariff Farhan Doss, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik &
Antarabangsa), yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Madya Ts. Chm. Dr. Mohammad Isa Mohamadin, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Saimi Bujang,Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri), Prof. Madya Ir. Dr.
Juferi Idris, Penolong Rektor Kampus Samarahan 2, Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abdul Kadir dan Penolong Rektor Kampus Mukah, Dr. Abdul Jabbar Abdullah.
GAMBAR:UiTMCS
