Dua model jentera penuai kelapa sawit guna ‘Lipan’ dan ‘Kerbau’

KUCHING: Industri kelapa sawit di Sarawak diyakini akan terus berkembang melalui penubuhan syarikat pembuatan jentera yang dikhususkan untuk menuai komoditi tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dua model jentera penuai kelapa sawit yang dihasilkan oleh Sarawak Plantation Berhad (SPB) menggunakan teknologi terkini dipatenkan dengan nama ‘Lipan’ dan ‘Kerbau’.

Menurutnya, kedua-dua jentera itu yang berkeupayaan menuai sebanyak 1.2 tan buah kelapa sawit dalam masa hanya dua minit bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan pengeluaran kelapa sawit, tetapi juga menunjukkan komitmen Sarawak dalam menerapkan inovasi dan teknologi dalam sektor pertanian.

“Jadi kita akan membawa sektor seperti SPB dan tadi saya menjemput MPOB untuk menjadi rakan kongsi ekuiti dalam syarikat tersebut dan Sarawak sendiri akan terlibat.

“Ini adalah perkara baharu dan ia sudah dipatenkan untuk kita menjadi pengeluar utama jentera ini dalam industri kelapa sawit di mana pasaran boleh membeli jentera kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Pemindahan Teknologi Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan-Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben dan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail serta dif-dif kenamaan lain.

Jentera ‘Lipan’ dan ‘Kerbau’ akan dilengkapi dengan teknologi terkini, termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk menilai tahap kematangan buah kelapa sawit sebelum dituai selain beroperasi sepenuhnya menggunakan alat kawalan jauh.

Katanya, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memudahkan pemain industri kelapa sawit meningkatkan hasil tuaian, tetapi juga untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar.

Justeru katanya, pakar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan dipanggil untuk meningkatkan lagi kecekapan jentera tersebut.

“Ini merupakan langkah proaktif dalam memastikan industri kelapa sawit Sarawak dapat bersaing dengan lebih efektif di peringkat global,” katanya.

Beliau turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian antara MPOB dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Mygro Trading Sdn Bhd.