Pertukaran budaya letak Sarawak di peta dunia

KUCHING: Lebih banyak program pertukaran kebudayaan diadakan di negeri ini akan meningkatkan industri kreatif tempatan dan meletakkan Sarawak dalam peta dunia, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara kebudayaan, festival muzik dan filem seperti WhatAboutKuching dan festival Filem Jepun boleh membantu mengembangkan lagi industri kreatif tempatan.

Industri kreatif itu mungkin dalam bentuk filem, teater, muzik atau kesusteraan, katanya semasa merasmikan Festival Filem Jepun (FFJ) ke-20 di GSC Cityone di sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Karim, serentak dengan itu ia juga boleh memupuk kerjasama dan perkongsian kebudayaan dalam kalangan peminat industri kreatif.

Keunikan pelbagai etnik di negeri ini boleh dijadikan daya tarikan kepada orang luar mempelajari budaya tempatan dan memupuk kolaborasi dalam pertukaran budaya, katanya.

Festival Filem Jepun itu adalah kali ke-12 diadakan di sini dan dianjurkan oleh Yayasan Jepun Kuala Lumpur. Festival Filem Jepun 2024 itu mengetengahkan filem Godzilla Minus One yang memenangi anugerah akademi filem tahun lalu.