RM9 juta turap jalan kampung di Lundu

LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan menzahirkan terima kasih kepada Premier Sarawak yang memperuntukkan RM9 juta untuk Projek Rakyat di kawasan N3 Tanjong Datu.

Beliau berkata, Projek Rakyat itu membabitkan penurapan jalan dari rumah ke rumah fasa dua yang melibatkan 43 kampung.

Projek itu masih dalam pelaksanaan oleh Kontraktor Flownic Sdn Bhd di bawah Agensi Pelaksana Majlis Daerah Lundu (MDL ) dan dijangka siap pada Julai 2025, katanya pada Majlis Perasmian Projek Rakyat Penurapan Jalan dari rumah ke rumah Fasa 2 untuk kawasan N3 Tanjong Datu di Perkarangan jeti Kampung Pugu Lundu hari ini .

Beliau berkata, ia merupakan tambahan kepada Projek Penurapan Jalan Rumah Ke Rumah Fasa Satu berharga sebanyak RM2 juta yang telah siap pada 18 Jun 2023.

Dengan pelaksanaan projek itu, beliau berharap
tiada lagi yang tercicir walaupun ada terdengar rungutan dari kampung yang mengatakan masih ada yang tertinggal.

Tiada diskriminasi sama ada dari segi kaum, bangsa dan perbezaan politik dalam melaksanakan projek terbabit, katanya dan menambah, kecuali bagi rumah yang baru dibina atau tiada berpenghuni.

Semua layak untuk mendapat projek penurapan jalan rumah ke rumah itu asalkan penduduk N3 Tanjong Datu, tegas beliau.

Beliau akan turut memperuntukkan bajet luar jangka jika ada lagi nama yang tercicir dan berharap agar mereka mendaftarkan nama kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK ) atau Majlis Daerah Lundu.

Hadir sama Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusuf Awang Mostapha, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Lundu, Abdul Razak Abdul Wahab, Pemanca Bentani Suni dan Penghulu Rabiel Bujang Ili.