Anugerah Sastera Sarawak Ke-11 iktiraf komitmen, kepakaran sasterawan

KUCHING: Bekas wartawan anak kelahiran Kampung Sebangan, Simunjan, Dr Abang Padeli Abang Muhi bakal menerima Anugerah Kesasteraan Sarawak Keenam pada Anugerah Sastera Sarawak Ke-11 pada 30 Oktober ini.

Anugerah itu sebagai mengiktiraf komitmen, kepakaran dan ketokohan beliau sebagai penulis dan sasterawan.

Pengerusi Panel Penilai Anugerah Sastera Sarawak Ke-11, Datu Dr Adibadiozaman Tuah berkata, pemilihan beliau sebagai penerima anugerah susulan penglibatan aktif dalam dunia sastera dan akademik.

“Beliau aktif melibatkan diri dalam pembentangan kertas kerja di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media Anugerah Sastera Sarawak Ke-11 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Petra Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengelola dan Panel Penilai,
Dato Dr. Jeniri Amir dan Setiausaha Anugerah Sastera Sarawak, Abang Haliman Abang Julai.

Menurut Dr Adi, majlis tersebut akan berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya, di sini.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dijangka menghadiri majlis tersebut.

Anugerah ialah Anugerah Khas Bahasa dan Sastera, Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre,
Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa (Bahasa Iban) dan Anugerah Penulis Harapan Sarawak.

Pada tahun 2023, Jawatankuasa Urus Setia Anugerah Sastera Sarawak Ke-11, DBP Cawangan Sarawak menerima seramai 42 orang calon bagi 10 kategori anugerah.

Bagaimanapun, selepas saringan dilaksanakan oleh urus setia, hanya 33 calon bagi lapan kategori anugerah sahaja layak untuk dinilai termasuk dua orang calon bagi kategori Anugerah Khas Bahasa dan Sastera yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Urus Setia dan Jawatankuasa Panel Penilai.

Anugerah Sastera Sarawak merupakan projek terulung kegiatan kesusasteraan dan kebahasaan di Sarawak di bawah naungan Kerajaan Sarawak manakala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak selaku urus setia.

Untuk rekod, projek ini telah dimulakan pada 1994. Sejak itu, majlis Anugerah Sastera Sarawak telah dilangsungkan pada 1995, 1997, 1998, 1999, 2001, 2009, 2014 dan 2018.