SMA, Plum Consulting London LLP meterai MoU, perkukuh pengurusan spektrum

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) membangunkan kesalinghubungan dalam bidang telekomunikasi dengan menandatangani Perjanjian Persafahaman (MoU) dengan Plum Consulting London LLP di sini.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.

Majlis pertukaran MoU itu dilangsungkan pada pelancaran Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Susulan pindaan ke atas Kanun Tanah Sarawak (Cap. 81), Kerajaan Sarawak kini memegang kuasa regulatori ke atas spektrum ruang udaranya.

Perkongsian itu fokus kepada kolaborasi dalam bidang penting seperti pengurusan spektrum, menggubal dasar untuk kecekapan pengurusan spektrum sejajar dengan undang-undang persekutuan sambil menjamin kedaulatan kemajuan sektor telekomunikasi Sarawak.

“Pemeterian MoU antara SMA dan Plum Consulting London LLP itu menandakan usaha penting ke arah menangani pengurusan spektrum di Sarawak.

“Dengan asas perundangan ditetapkan dalam Kanun Tanah Sarawak yang dipinda dan sokongan Jawatankuasa Spektrum Sarawak (SSC), perkongsian itu akan membolehkan Sarawak untuk mencari penyelesaian bagi pengurusan spektrum lebih cekap selari dengan kepentingan negeri dan peraturan persekutuan,” kata Julaihi.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Jawatankuasa Spektrum Sarawak yang bertanggungjawab dengan keseluruhan strategi hala tuju sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.

Jawatankuasa itu, katanya, akan turut fokus kepada perancangan jangka panjang dengan mengambil kira pertumbuhan mampan dan masa depan industri telekomunikasi terutama berkaitan spektrum.

“Dengan kepakaran luas Plum Consulting dalam sektor regulatori, radio spektrum, ekonomi dan teknologi, kolaborasi ini akan menyokong transformasi digital Sarawak dengan menangani cabaran kritikal dan peluang menguasai telekomunikasi.

“Pengalaman Plum dalam menyampaikan maklumat dan penyelesaian akan membolehkan Sarawak untuk mengoptimumkan pengurusan spektrum, meningkatkan rangka kerja regulatori dan memacu pertumbuhan ekonomi digital Sarawak.

“Perkongsian ini selari dengan visi Sarawak menjadi negara kesalinghubungan dan kuasa digital, menyokong usaha membangunkan infrastruktur telekomunikasi dan memupuk ekonomi mampan dalam jangka panjang,” kata Pengurus Besar SMA, Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng.