KUCHING: Kepimpinan berwawasan tinggi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selama lapan tahun berjaya membawa kemajuan transformatif kepada negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, usaha Abang Johari mengemudi Sarawak ke arah lebih baik dicerminkan menerusi komitmen beliau mengembalikan hak-hak Sarawak yang telah terhakis menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
”Kesungguhan beliau memastikan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai pilihan selain bekerjasama dengan Sarawak dan Sabah.
”Usaha dan kemas kini berterusan yang diberikan kepada Ahli Parlimen mengenai isu berkaitan MA63 mencerminkan dedikasi beliau yang tidak berbelah bagi untuk tujuan ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya wawasan berani Abang Johari dalam bidang transformasi digital telah meningkatkan ekonomi Sarawak dan memperkasakan rakyatnya, khususnya mereka di kawasan luar bandar.
Katanya, inisiatif itu juga telah meningkatkan pemahaman dan penggunaan platform digital dengan ketara terutamanya transaksi digital yang kini semakin berleluasa penggunaannya di Sarawak.
”Pendekatan pemikiran ke hadapan ini terus memberi manfaat kepada rakyat Sarawak merentasi semua sektor.
”Idea-idea inovatif dan pelaksanaannya yang pantas memastikan kita semua sentiasa bersedia, mencabar kita untuk memahami visinya dan menterjemahkannya kepada hasil yang nyata,” tambahnya.
