KUCHING: Sistem baharu permohonan yang dibuat secara dalam talian melalui portal Sarawak.gov.my dan diintegrasikan dengan SarawakPASS dijangka dapat menyokong pelaksanaan Endowment Fund Sarawak (EFS) 2.0 secara lebih sistematik dan
mesra pengguna.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, mulai 2025, pelaksanaan EFS diperkukuh melalui kerjasama dengan Affin Bank Berhad yang menguruskan dana menerusi dua akaun utama serta satu manfaat tambahan dengan jumlah jangkaan nilai EFS RM2,442.12.
Melalui Affin Islamic Term Deposit-I (AITD-i), peruntukan disediakan RM550 dengan tempoh simpanan 18 tahun dan kadar keuntungan semasa 3.4%, jangkaan nilai simpanan selepas 18 tahun adalah RM1,004.00, katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa EFS 2025 di sini hari ini.
Fatimah menegaskan, melalui Affin Emas Account/-I, peruntukan RM450 disediakan dengan jenis akaun simpanan emas fizikal patuh syariah, pulangan purata 10 tahun pada kadar 8.01% setahun nilai jangkaan simpanan selepas 18 tahun adalah RM1,438.12.
KPWK menyambut baik usaha pemerkasaan digital ini kerana ia merupakan satu langkah besar ke arah penambahbaikan penyampaian perkhidmatan serta penyelarasan data yang lebih mantap antara agensi berkaitan, tegas beliau.
Menurut Fatimah, dari tempoh 1 Januari 2019 hingga 31 Oktober 2025, sebanyak 141,869 anak Sarawak telah memiliki akaun EFS dengan jumlah peruntukan RM141.8 juta dari Kerajaan Sarawak.
Jumlah kelahiran setakat 31 Oktober 2025 (status ‘K’) adalah 22,895 dan permohonan EFS diterima melalui Bank Islam dan Affin Bank setakat 31 Oktober 2025 ialah 19,458 (85%).
Pada 23 Jun 2025, KPWK dan Affin Bank Berhad menandatangani Memorandum of Agreement (MOA) bagi pelaksanaan EFS 2.0, menandakan satu langkah penting dalam penambahbaikan sistem penyampaian program itu, tegas beliau.
Kumpulan pertama pembayaran di bawah EFS 2.0, melibatkan 1,456 penerima layak, telah berjaya disalurkan kepada Affin Bank pada 18 Julai 2025.
Setakat 17 November 2025, Affin Bank telah membuka 6,287 akaun EFS 2.0, dengan jumlah simpanan keseluruhan mencecah RM6.2 juta.
“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan fasa baharu EFS 2.0 serta kerjasama strategik antara KPWK dan Affin Bank. KPWK turut merakamkan penghargaan kepada Bank Islam Malaysia Berhad, rakan pelaksana asal EFS sejak 2019, atas sumbangan dan kerjasama berterusan mereka sejak permulaan program ini,” katanya.
