SINGAPURA: Lawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar diteruskan hari ini dengan mengadakan perjumpaan bersama Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Lawatan itu mengukuhkan hubungan dua hala antara Sarawak dan Singapura yang telah lama terjalin.
Masagos Zulkfili yang juga sahabat lama Tun menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan menegaskan bahawa persahabatan dan persefahaman antara kedua-dua pihak kekal kukuh.
“Kerjasama antara Malaysia khususnya Sarawak dengan Singapura telah lama erat dan diperkukuhkan lagi dengan persahabatan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas pertemuan bersama Tun Pehin Sri di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Penolong Pengarah Kanan, Perhubungan Antarabangsa MSF, Sara Abdullah.
Pertemuan kira-kira dua jam dimanfaatkan oleh kedua-dua tokoh berkenaan bertukar pendapat mengenai pembangunan negara masing-masing termasuk potensi tenaga dari Sarawak serta peluang kerjasama masa hadapan.
Tun Pehin Sri turut menyerahkan beberapa cenderamata kepada Masagos Zulkfili sebagai simbol kenangan dan penghargaan atas persahabatan mereka yang terjalin sekian lama.
