SIMUNJAN: Golongan belia dinasihat supaya menguasai teknologi untuk bersaing di pentas dunia dan menghadapi perkembangan pesat revolusi digital.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, Sarawak yang giat membangunkan ekonomi digital, hidrogen hijau, inovasi kecerdasan buatan (AI), KETEQ AI dan perantai penukar kuasa berasaskan AI memerlukan ramai tenaga kerja berkemahiran.
Kejayaan Sarawak dalam semua bidang itu bergantung kepada kemahiran anak-anak tempatan, katanya ketika merasmikan Program Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Madani 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong di sini hari ini.
“KETEQ AI adalah bukti bahawa anak Sarawak mampu menghasilkan teknologi bertaraf dunia. Ini harus menjadi inspirasi kepada pelajar untuk berani mencipta dan menerokai bidang baharu,” katanya.
Rodiyah berkata, perkembangan AI dijangka memberi kesan besar terhadap landskap pekerjaan, khususnya bidang perubatan, kejuruteraan dan industri berkemahiran tinggi.
Program STI Madani yang berlangsung sejak 18 November lalu melibatkan 100 pelajar, guru dan ibu bapa, sekali gus mencerminkan komitmen sekolah untuk memupuk kecintaan terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi.
Aktiviti seperti penggunaan AI dan pertandingan cabaran dron turut membantu merangsang kreativiti serta meningkatkan kemahiran teknologi pelajar.
