Sarawak kenal pasti empat bidang ekonomi baharu – Premier

KUCHING: Sarawak mengenal pasti empat bidang ekonomi baharu utama yang akan memacu aspirasinya menjadi negeri maju yang mampan di ASEAN.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bidang baharu itu membentuk daya saing Sarawak yang menjadi asas kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).

Empat bidang utama tersebut adalah tenaga boleh diperbaharui, gas rendah karbon, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan industri semikonduktor.

“Dalam tenaga boleh diperbaharui, Sarawak memanfaatkan kelebihan semula jadi kita, iaitu sungai-sungai yang luas dan modal semula jadi untuk muncul sebagai kuasa utama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Ke-74, anjuran bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.

Menurut Premier, Sarawak kini memberi tumpuan terhadap gas rendah karbon untuk menghasilkan hidrogen dan ammonia rendah karbon.

Pada masa ini katanya, Sarawak sedang mengeluarkan metanol, metanol hijau dan dalam perancangan pengeluaran ammonia hijau.

“Ini merupakan pendekatan inovatif yang memastikan sumber kita kekal relevan dan bernilai dalam masa depan rendah karbon, sekali gus menghasilkan produk bernilai tinggi untuk pasaran global dari Sarawak, khususnya Bintulu.

“Malah, Bintulu telah dikenal pasti oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai kluster industri hijau baharu yang sedang muncul,” katanya.