UKPS pertingkatkan elemen keselamatan, kesiapsiagaan bencana

KUCHING: Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) akan memperkukuh elemen keselamatan serta kesiapsiagaan bencana negeri selaras dengan peranannya sebagai antara respon awal di lapangan.

Pengarah UKPS Abdul Wahab Rahim berkata, perkara itu antara tuntutan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa menerima kunjungan hormat agensi itu hari ini.

“Premier Sarawak memohon supaya UKPS memperkukuh elemen keselamatan. Sekarang, elemen keselamatan telah ditubuhkan, tetapi perlu dipertingkatkan lagi. Elemen keselamatan ini juga bermaksud kesiapsiagaan menghadapi krisis dan bencana.

“Pada masa depan, kita akan melaksanakan kerja-kerja penyelamatan. Memang sudah ada operasi di laut, tetapi bagi banjir dan tanah runtuh, kita akan menilai dan melaksanakannya. Premier Sarawak menekankan supaya perkara ini diperkukuh,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat di Kompleks Satria Pertiwi.

Beliau menjelaskan, usaha memperkukuh keselamatan termasuk penambahan sukarelawan terlatih di kawasan berisiko dan pengukuhan keupayaan komuniti sebagai barisan hadapan dalam menghadapi bencana.

Katanya, UKPS akan melancarkan tiga unit kapal baharu sepanjang 40 meter, yang mampu beroperasi selama seminggu bagi mempertingkatkan keselamatan di kawasan strategik Sarawak.

Selain itu, menurutnya, Premier Sarawak turut meminta UKPS mendigitalkan semua perkhidmatan agensi, termasuk penggunaan teknologi terkini bagi menganalisis data, memberikan amaran awal, serta mempertingkatkan pengurusan risiko dan keselamatan untuk memperkukuh keselamatan negeri.