JEPAK: Sebanyak 500 pek bubur pedas dan lambuk diagihkan kepada pengguna jalan raya sempena program anjuran Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N67 Jepak.
Program gotong-royong diadakan semalam di hadapan Masjid Darul Makmur, Kampung Jepak turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Ketika ditemui, Iskandar menekankan kepentingan amalan gotong-royong dalam mengukuhkan hubungan komuniti sambil menyambut baik program tersebut dalam menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan mulia.
“Program seperti ini sangat bermakna kerana bukan sahaja mengeratkan hubungan antara penduduk, tetapi juga mencerminkan semangat kerjasama yang kuat di Jepak.
“Hari ini kita dapat lihat bagaimana Ketua Pemuda Parti PBB Jepak, saudara Frankey Sibat, berganding bahu bersama Wanita PBB dalam menyediakan bubur pedas,” katanya.
Beliau turut menasihatkan peniaga bazar Ramadan agar sentiasa menjaga kebersihan demi keselamatan pengunjung.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa satu acara bertuntung akan diadakan pada pertengahan Ramadan bagi memeriahkan lagi suasana di kawasan Jepak dan Kuala Tatau.
