Buat pilihan tepat, elak keracunan makanan

MIRI: Pengunjung digalak mengamalkan prinsip ‘Perhatikan dan Pilih’, iaitu memilih gerai yang bersih dan pengendali makanan yang menjaga kebersihan sebelum membeli di Bazar Ramadan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni, juga mengingatkan pengguna mengamalkan konsep ‘Lihat, Bau, dan Rasa’ bagi mengelakkan keracunan makanan.

“Pemantauan keselamatan makanan adalah keutamaan sepanjang Ramadan bagi memastikan peniaga mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Walkabout Bazar Ramadan & Kempen Keselamatan dan Kebersihan Makanan Bazar Ramadan 2025 di Bazar Ramadan Stadium Dalaman Miri, hari ini.

Setakat ini, tujuh sesi taklimat telah diadakan melibatkan 526 pengendali makanan, manakala 197 premis telah diperiksa dan 97 kompaun dikeluarkan.

Beliau turut memperkenalkan platform Aduan Kebersihan Premis Makanan melalui WhatsApp (012-8484378) dan juga boleh melalui SiSPAA atau Facebook PKKM untuk membuat aduan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Norrani Eksan, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, Timbalan Datuk Bandar Miri Ariffin Mohamad, serta pegawai kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).