Terminal lori bersepadu pertama bakal dibina

MIRI: Miri akan menjadi lokasi terminal lori bersepadu pertama di Sarawak bagi memperkukuhkan sistem pengangkutan dan logistik.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, memaklumkan bahawa terminal sepanjang 6.64 ekar akan dibina berdekatan Eastwood Valley Golf and Country Club di Jalan Miri-Bypass.

“Projek ini mendapat tambahan peruntukan RM5 juta daripada Kerajaan Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhan RM20 juta, dengan anggaran pembinaan mengambil masa 1.5 tahun,” katanya menambah proses tender semula telah dibuka sejak 25 Februari lalu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Persatuan Pemilik Lori Miri bagi penggal ke-30 di Restoran Gloria Miri, hari ini.

Tambah Lee, terminal ini akan dilengkapi pelbagai kemudahan moden seperti gudang, bengkel mini, tempat penginapan dan kedai mini, yang ditujukan khusus untuk pemandu lori jarak jauh.

“Ini bertujuan memberi keselesaan dan mengurangkan risiko kemalangan akibat keletihan.

“Selain itu, terminal ini dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar Miri dengan menyediakan ruang untuk pemindahan barang menggunakan kenderaan lebih kecil.