SIMANGGANG: Team Gerak Sahur (TGS) dari Kampung Hilir di sini meneruskan tradisi memukul gendang sekeliling kampung bagi mengejutkan penduduk bangun bersahur Ramadan ini.
Pasukan itu terdiri daripada seramai 22 belia akan bergerak secara berkumpulan mengelilingi kampung bermula jam 3 pagi.
Ketua kumpulan Mohd Sabri Jimi berkata, TGS ditubuhkan pada tahun 2017 dan mereka berjalan kaki dan menunggang motosikal mengelilingi kampung bagi melaungkan sahur sambil memukul gendang diperbuat dari bahan terbuang seperti tong cat.
“Selain itu, kami juga menggunakan alat muzik seperti tamborin, talam dan juga batang penyapu kecil yang berfungsi sebagai pemukul gendang,” katanya.
Katanya, setelah tuan rumah sedar, mereka akan bergerak beramai-ramai ke rumah lain dan mengulangi perkara sama sehingga selesai semua rumah pada pukul 4 pagi.
