Majlis Sumbangan Ihya Ramadan santuni 100 ibu tunggal

KUCHING: Seramai 100 ibu tunggal dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang menerima bantuan pada Majlis Sumbangan Ihya Ramadan & Iftar di Muzium Budaya Borneo petang tadi.

Sumbangan tersebut disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Majlis Sumbangan Ihya Ramadan & Iftar ini dianjurkan bersama Biro Wanita SABERKAS sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kebajikan masyarakat.

Dalam ucapannya, Datuk Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang berkata, program kebajikan seperti ini akan diperluaskan ke kawasan lain bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan.

Antara sumbangan yang disalurkan termasuk bakul makanan berisi keperluan asas serta duit raya bagi meringankan beban penerima menjelang sambutan Aidilfitri.