LAWAS: Anjung Usahawan Lawas bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek bernilai RM3.8 juta ini yang dijadual mula beroperasi pada 1 Jun ini bakal menjadi hab ekonomi baharu.
Terletak di lokasi strategik dalam kawasan pembangunan bandar, Anjung Usahawan Lawas menawarkan pelbagai kemudahan termasuk 10 gerai makanan, kedai runcit, ruang makan berkapasiti 180 orang, serta ruang khas untuk persembahan dan aktiviti.
Ia turut dilengkapi dengan tangki air bagi mengatasi isu tekanan air rendah yang sering berlaku di kawasan tersebut.
“Anjung Usahawan ini bukan sekadar pusat perniagaan, tetapi juga platform bagi usahawan tempatan untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi Lawas.
“Ia akan menjadi tarikan utama bagi penduduk dan pelajar di sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke situ semalam.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak menambah, kewujudan Anjung Usahawan bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan kecil dan sederhana tetapi turut menyokong pertumbuhan institusi pendidikan berhampiran seperti CENTEXS Lawas, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lawas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas yang baharu, serta Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas yang baharu.
Tegasnya, pembukaan Anjung Usahawan Lawas dijangka menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang mampu merancakkan sektor perniagaan dan keusahawanan di Lawas serta memberi impak positif kepada pembangunan wilayah utara Sarawak.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah isteri beliau, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Penasihat MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron.
