BETONG: Pembangunan infrastruktur asas di Sarawak terus rancak diperkasakan dengan penyiapan 11 lagi jambatan dalam masa terdekat.
Ketika mengumumkan perkara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, pembinaan infrastruktur itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 16 jambatan yang sedang dan dibina di seluruh negeri dengan kos berjumlah RM5.9 bilion.
Katanya, antara jambatan yang telah siap ialah Jambatan Marudi, Jambatan Batang Rajang, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Rajang dan Jambatan Batang Saribas termasuk Jambatan Jepak yang dijangka dirasmikan tidak lama lagi.
“Inilah impian Premier Sarawak untuk melihat perjalanan dari Kuching ke Miri tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Saribas 1 di sini hari ini.
Majlis perasmian dilakukan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menjelaskan
Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai dasar jelas dan menyeluruh dalam membangunkan infrastruktur negeri.
Katanya, dasar Abang Johari untuk memastikan Sarawak terus maju dan rakyat berpendapatan tinggi.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai tanggungjawab besar untuk melaksanakan projek rakyat dan projek-projek lain bernilai lebih RM30 bilion di seluruh Sarawak,” tambahnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohamad Razi Sitam, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan-Timbalan Menteri. — UKAS
