Rangkaian jalan pesisir pemacu pembangunan luar bandar

BETONG: Jambatan Batang Saribas 1 yang telah siap sepenuhnya menjadi penghubung penting dalam menjayakan projek rangkaian jalan pesisir yang menghubungkan kawasan kampung dan rumah panjang.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, rangkaian jalan pesisir yang sedang dibangunkan ini bakal menjadi pemacu utama atau ‘game changer’ kepada transformasi landskap pembangunan luar bandar Sarawak menjelang tahun 2030.

“Dengan siapnya projek ini, rakyat dapat berhubung terus ke Kuching melalui jaringan yang sedang kita bina dan tidak lama lagi kita akan merasmikan Jambatan Lingga yang akan menghubungkan ‘second trunk road’.

“Maka dengan siapnya infrastruktur ini, pada tahun 2030, rangkaian infrastruktur kita akan menjadi satu rangkaian yang akan menjadi ‘game changer’ dalam pembangunan luar bandar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jambatan Batang Saribas 1 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata jambatan berkenaan bakal membuka lebih banyak peluang kegiatan ekonomi, termasuk pembangunan pertanian moden di kawasan pesisir.

“Saya juga mengucap terima kasih kepada rakyat di kawasan Betong yang telah memberi kerjasama dalam kita melaksanakan projek yang besar di mana kos projek ialah lebih kurang RM375 juta,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau melancarkan penubuhan Agensi Pembangunan Wilayah Betong (BDDA) yang akan menjadi penggerak kepada pembangunan strategik di kawasan itu.

Beliau turut mengumumkan kelulusan beberapa permohonan pembangunan termasuk pembinaan semula Pejabat Daerah Betong dan Pejabat Majlis Daerah Betong, menaik taraf kemudahan elektrik ke Fasa 3 di Bahagian Betong serta pembangunan Agropark di Beladin, Pusa.

Premier Sarawak kemudiannya meneruskan lawatan kerja ke Penempatan Semula Nelayan Beladin bagi menyerahkan kunci kepada dua penerima serta menyampaikan Bantuan Sara Hidup Nelayan Beladin 2025.

Ia disusuli dengan meninjau tapak projek pembangunan Tebingan Beladin, Pusa yang melibatkan kos sebanyak RM45 juta.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohamad Razi Sitam, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia & Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-ketua Jabatan serta kenamaan lain.

Jambatan sepanjang 1.55 kilometer ini berdiri megah dengan 16 bentang, menyambungkan laluan sepanjang 6.7 kilometer yang turut melibatkan penaiktarafan dan pembinaan jalan baharu di kedua-dua sisi Beladin dan Pusa.

Selain jambatan utama, projek ini turut melibatkan penaiktarafan jalan sedia ada sejauh 0.887 kilometer di Beladin dan 1.62 kilometer di Pusa serta pembinaan jalan baharu masing-masing sejauh 1.851 kilometer di Beladin dan 0.792 kilometer di Pusa.