BETONG: Penantian lebih enam dekad penduduk berakhir apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini merasmikan Jambatan Batang Saribas 1.
Turut dilancarkan Agensi Pembangunan Baharu Betong (BDDA) sebagai pemacu pembangunan holistik bagi wilayah Betong.
Jambatan moden bernilai RM375.5 juta itu mula dibina sejak 2019 namun berdepan penangguhan berikutan pandemik Covid-19.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, projek berkenaan bukan sahaja menghubungkan komuniti setempat tetapi turut menamatkan kebergantungan penduduk terhadap perahu sejak lebih 60 tahun lalu.
“Dahulu penduduk hanya bergantung kepada perahu. Hari ini kita saksikan impian enam dekad menjadi kenyataan,” katanya dalam ucapan alu-aluan perasmian Jambatan Batang Saribas 1 dan pelancaran BDDA yang disempurnakan Premier Sarawak di sini, hari ini.
Uggah menegaskan perasmian jambatan tersebut membuktikan iltizam kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyediakan infrastruktur asas bagi merancakkan pembangunan luar bandar serta membuka lebih banyak peluang ekonomi.
Katanya, GPS memperuntukkan RM5.9 bilion bagi membina 16 jambatan utama di seluruh negeri, menggunakan dana sendiri.
Pelancaran BDDA juga katanya dilihat sebagai langkah strategik kerajaan negeri untuk merancang pembangunan wilayah Betong secara menyeluruh.
Menurut Uggah, sebanyak 48 projek pembangunan bernilai RM2.92 bilion sedang dan akan dilaksanakan di bawah BDDA, termasuk peruntukan RM200 juta untuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.
Beliau turut memberi jaminan projek Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling bukan sekadar janji pilihan raya malah berjalan lancar dan dijangka siap tidak lama lagi.
Malah, Sarawak katanya kini mencatat pencapaian cemerlang apabila tiga tahun berturut-turut diiktiraf Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah) Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.
Selain itu, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris dan Residen Betong Richard Michael Abunawas.
