BINTANGOR: Seramai 70 ketua kaum dari kawasan Tulai, Meradong menerima dokumen pewartaan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN), semalam.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam mengiktiraf dan melindungi hak pemilik tanah NCR, di luar bandar.
Beliau menjelaskan, Program Pengukuran Tanah NCR dilaksanakan secara percuma sejak 2010, melibatkan dua peringkat iaitu pengukuran perimeter (Seksyen 6) dan lot individu (Seksyen 18).
“Sehingga 30 Jun 2025, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya menyukat secara perimeter kawasan tanah NCR seluas 1,204,125 hektar (2.9 juta ekar) di seluruh negeri, dengan 937,655 hektar (2.3 juta ekar) daripadanya telah diwartakan.
“Bagi pengukuran lot individu pula, sejumlah 101,903 lot melibatkan keluasan 121,733 hektar (300,802 ekar) telah diukur, dan 32,614 lot telah dikeluarkan surat hak milik rasmi di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri melibatkan keluasan 44,828 hektar (110,770 ekar),” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menggesa agar tanah yang diiktiraf tidak dijual, sebaliknya dimanfaatkan untuk pertanian dan pembangunan ekonomi keluarga.
