KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 11 projek pembangunan persekutuan yang dilaksanakan di Sarawak dikategorikan sebagai projek sakit, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof.
Katanya, ini kerana kontraktornya gagal menyiapkan projek berkenaan disebabkan kekangan kewangan.
Malah katanya, ada juga projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) masih belum dapat disiapkan disebabkan beberapa masalah itu.
“Majoriti projek yang tidak dapat disiapkan menghadapi masalah ketidakmampuan dari segi kewangan dan sebagainya.
“Kira-kira 45 peratus kontraktor di Sarawak tidak dapat menyiapkan projek susulan masalah yang dihadapi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pemantauan Program/ Projek Pembangunan Negeri Sarawak Tahun 2024 di Pejabat RISDA di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjelaskan, masalah lain yang dihadapi ialah apabila negara dilanda Covid-19 pada 2019 menyebabkan projek dihentikan selama dua tahun.
“Tga daripadanya kelewatan pelaksanaan dan masing-masing satu projek disebabkan masalah reka bentuk, utiliti apabila belum menerima bekalan elektrik dan dalam prapelaksanaan.
“Dan kita akan sentiasa mencari jalan bagaimana untuk menambah baik keseluruhan pelaksanaan projek,” katanya.
Menurutnya, projek sakit tersebut membabitkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Tambahnya, salah sebuah (projek) sekolah di Lawas, projek ini dibuat menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).
“IBS terpaksa dibawa dari Kuching, dan dari segi logistik dan sebagainya turut menyumbang kelewatan (penyiapan projek),” tambahnya.
Sementara itu, mengenai projek Hopital Petra Jaya di Kuching, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, setakat ini projek terbabit mengikut jadual.
“Cuma sekarang ni kita kena buat perolehan dari segi peralatan,” tambahnya.
