SIBU: Kerajaan Sarawak menerima Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemacu utama kemajuan di rantau ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, AI memainkan peranan penting dalam era transformasi digital semasa, termasuk keperluan ekosistem data yang teguh untuk AI berfungsi dengan berkesan.
“Intipati AI ialah data. Tanpa data, AI tidak boleh berfungsi dengan berkesan. Inilah sebabnya Kerajaan Sarawak, melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2018 dan meneruskan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 menerima kepentingan membina ekosistem data mantap.
“Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak menggariskan visi kerajaan untuk mewujudkan infrastruktur yang selamat, berdaya tahan dan berskala bertujuan untuk membuka kunci sepenuhnya potensi AI merentas pelbagai sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee pada Majlis Konvokesyen Kesembilan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini.
Abang Johari yang juga Pro-Canselor UTS menekankan integrasi AI ke dalam sektor kehidupan harian seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pertanian dan tenaga, menekankan kepentingan mengutamakan keselamatan data dan standard etika.
Selain itu, katanya lagi, AI adalah pusat kepada kemajuan dalam teknologi aeroangkasa sama ada untuk meningkatkan keselamatan dan kecekapan perjalanan udara atau meneroka teknologi angkasa lepas.
“Usaha untuk membangunkan hab aeroangkasa di Sarawak selaras dengan visi lebih luas untuk menjadikan negeri ini pemain global dalam teknologi canggih. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen Sarawak terhadap ekonomi digital yang mengimbangi inovasi dengan kelestarian.
Sementara itu, seramai 351 graduan dari 22 program akademik menerima skrol pengajian masing-masing pada majlis konvokesyen yang berlangsung dari 14 hingga 15 Disember.
