CENTEXS Lundu pilihan pelajar latihan aeroangkasa

LUNDU: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS ) Lundu meraih permohonan kemasukan pelajar yang menggalakkan dari seluruh Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, CENTEXS Lundu yang baharu beroperasi selama dua tahun menarik kemasukan pelajar sebanyak 90 peratus pada kemasukan terakhir pada Oktober lalu.

Katanya, ini setelah CENTEXS Lundu terpilih menjadi akademi aeroangkasa bagi melahirkan Jurutera Aeroangkasa dengan peringkat latihan termasuk penyelengaraan , pembaikan dan baikpulih (MRO) untuk helikopter serta avionik dengan kerjasama AIROD Aviation Design Centre (ADC) dan Kolej Universiti I-Cats.

“Terimakasih kepada Premier Sarawak kerana visi masa depan beliau yang ingin menjadikan Sarawak sebagai hab industri aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Perasmian Fun Day CENTEXS Lundu 2024 di sini, semalam.