PETRA sokong projek utiliti air Sarawak

KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) terus menyokong Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan projek utiliti.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ini melalui pemberian geran untuk melaksanakan projek air.

Beliau berkata, antaranya kerja-kerja pengorekan bawah tanah yang dijalankan di sekitar bandar raya ini.

“Semua projek tersebut merupakan proses pembentungan yang kini sedang dilaksanakan termasuk di kawasan Petra Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus PETRA Bersama Media Sarawak 2024, di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Fadillah berkata, proses tersebut akan memasuki fasa ketiga yang melibatkan kawasan di Kuching Utara dan Kuching Selatan serta kawasan-kawasan lain.

Sementara itu, menyentuh peranan media, Fadillah berkata beliau menghargai sokongan dan kerjasama berterusan rakan-rakan media bukan sahaja kepada PETRA, malah kerajaan secara keseluruhan.

Katanya, peranan media amat penting bukan sahaja sebagai penghubung atau perantara dalam menyampaikan maklumat dan informasi kepada masyarakat, malah mencorak minda rakyat, juga masa depan dan hala tuju negara.

Beliau turut berkongsi mengenai dasar, program dan projek yang dilaksanakan PETRA demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Pelbagai acara menarik termasuk karaoke, kuiz, pakaian terbaik untuk wanita dan lelaki dan peserta paling ramah.

Hadir sama Ketua Setiausaha PETRA, Dato’ Mad Zaidi Mohd Karli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim; Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha PETRA; Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran, Datu Ir Ts Ahmad Denney Ahmad Fauzi; Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak, Helmy Hamid dan pengamal media.