Kampung Sungai Kut, Dalat bakal alami transformasi pembangunan

DALAT: Kampung Sungai Kut di sini, bakal mengalami transformasi besar hasil pelbagai projek pembangunan yang dirancang oleh kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, projek-projek ini berpotensi menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

“Dengan adanya projek ini, ia dapat menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke sini.

“Disebabkan itu, banyak projek yang diatur di kawasan ini bagi membantu sektor pelancongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Penutupan Pesta Kut Kanal dan Perasmian Benteng Sungai Kut Muara, semalam.

Bagi merealisasikannya, beliau menekankan kepentingan kerjasama dalam mencapai matlamat menjadikan Kampung Sungai Kut sebagai destinasi pelancongan unggul.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu turut menyampaikan bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Fasa 2 Tahun 2024.

Sebanyak 37 rumah menerima manfaat daripada program tersebut, dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM514,000.

Hadir sama Pegawai Daerah Dalat Mohamad, Rashdan Hazemi; wakil Residen Bahagian Mukah, Alicesia Was dan Temenggung Hendi Suhai.

GAMBAR: UKAS