ASAJAYA: Pelaksanaan ibadah korban sebelum tibanya Hari Raya Aidiladha yang sebenar ditegur sebagai tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat dan bertentangan dengan amalan sebenar syariah Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberi teguran tersebut susulan maklumat bahawa Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) Zon Asajaya telah melaksanakan program penyembelihan korban dua hari lebih awal daripada hari raya.
“Sembelihan korban bukan boleh dibuat sesuka hati. Ia hanya sah dilakukan selepas selesai solat sunat Aidiladha dan dalam tempoh hari Tasyrik. Jika dilakukan lebih awal, ibadah itu tidak menepati syariat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan daging korban di Kampung Asajaya Laut, semalam.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menasihatkan penganjur program agar merujuk terlebih dahulu kepada pihak berautoriti dalam hal ehwal agama sebelum menganjurkan sebarang ibadah melibatkan hukum syarak.
“Perlu ada kepekaan. Rujuklah kepada mereka yang arif. Jangan sebar kekeliruan kepada masyarakat,” tegasnya.
Sementara itu, dalam program korban di kawasan Asajaya sempena Aidiladha tahun ini, sebanyak 14 ekor lembu telah dikorban. Dagingnya diagihkan kepada lebih 479 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan keluarga miskin.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan menjayakan program tahunan itu, yang menurutnya turut memperkukuh jalinan kemasyarakatan dalam kalangan penduduk.
“Semangat gotong-royong dan ukhuwah seperti ini wajar diteruskan. Ia bukan sekadar amalan keagamaan, tapi juga simbol perpaduan masyarakat,” ujarnya.
Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
