BINTULU: Sarawak kini menggunakan teknologi permanian beradas dan pemindahan embrio beku dalam pengurusan ternakan lembu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ini seperti yang diamalkan di Brazil dan Indonesia.
Katanya, dengan teknologi tersebut Sarawak tidak lagi perlu membawa masuk lembu hidup dari luar negara dan strategi tersebut sudah mula dilaksanakan di Sungai Pinang, Bau.
“Dengan teknologi ini, hasil yang sama dapat dicapai di dalam negeri dengan lebih efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen persefahaman (MoU) antara Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat dengan pengarah urusan Advansia, Lau Chin Hee di tapak pameran Sarawak Agrofest 2025 di Lasar Kenyalang, di sini, hari ini.
