KUCHING: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni mengadakan dialog pembangunan bersama penduduk Kampung Pinggan Jaya di sini malam tadi.
Dialog tersebut diadakan di Hotel USCI, Ishmus dekat Demak Laut yang turut dihadiri oleh Penghulu Kampung Muhibah/Pinggan Jaya, Yusuf Suhaili, Ketua Kaum Kampung Pinggan Jaya, Mat Yahya Jalani, ketua ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta ahli-ahli JKK, ahli jawatankuasa pemuda dan wanita PBB ranting Kampung Pinggan Jaya.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua PBB Cawangan Demak Laut, Rahmat Sabang dan Naib Ketua PBB Cawangan Demak Laut hassan Eli.
Dialog berkenaan berkisar kepada pelbagai projek pembangunan yang sedang dirancang dan dilaksanakan untuk faedah penduduk Kampung Pinggan Jaya.
Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.5 Demak Laut memberitahu bahawa Parti PBB Cawangan Demak Laut akan terus melaksanakan lima teras utama untuk membangunkan kawasan Demak Laut termasuk Kampung Pinggan Jaya.
Katanya, lima teras pembangunan itu ialah pembangunan perumahan, infrastruktur, sosioekonomi, kebajikan dan tanah.
Beliau menasihat penduduk supaya mendapat maklumat yang tepat dan sahih mengenai rancangan projek berkenaan.
Menurutnya, maklumat berkenaan boleh diperolehi daripada pejabatnya sebagai Wakil Rakyat, pejabat daerah Kuching, agensi kerajaan yang berkenaan atau daripada ketua masyarakat di kawasan masing-masing.
Dialog pembangunan itu adalah aktiviti runtin Dr Hazland dalam mendengar masalah, keperluan pembangunan penduduk di kawasan terbabit.
Dialog ini dilakukan untuk semua ketua masyarakat dan penduduk dari 40 ranting parti di Cawangan Demak Laut secara bergilir-gilir.
