BINTULU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) digesa memain peranan proaktif dalam menarik minat golongan muda menerokai bidang pertanian melalui pendekatan moden dan berskala besar.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, tugas PPK adalah meyakinkan anak muda bahawa pertanian mampu memberikan pulangan lumayan jika dilakukan dengan betul.
“Pertanian sekarang bukan lagi pekerjaan kotor atau kecil-kecilan tetapi menguntungkan jika diusahakan secara moden dan menggunakan teknologi IoT,” katanya pada majlis penangguhan Seminar Ahli-Ahli PPK sempena Sarawak Agrofest 2025 di Hotel Imperial di sini hari ini.
Menurut Rundi, PPK bukan sahaja perlu memberi arahan, malah turut menjadi pelaksana, contoh kepada petani.
Ia sebagai penggerak utama dalam usaha mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi moden, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.
“Petani memerlukan bimbingan, dan PPK harus menjadi penghubung yang memastikan semua pihak bergerak seiring daripada aspek penyelidikan, pengeluaran, pemprosesan sehinggalah ke pasaran,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PPK Sarawak yang diwakili pengerusi PPK Lawas, Temenggong Pais Kaya dan pengerusi PPK Subis, Penghulu Lansam Goyang dengan Lembaga Perindustrian Getah Sarawak (SARIB) yang diwakili pengurus besarnya, Make Jiwan.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Tetap MFICORD Datuk Sirai Daha serta Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat.
