KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan perbelanjaan hampir mencecah RM10 bilion untuk projek bekalan air di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Johari Tun Openg berkata sebanyak RM6 bilion sahaja diperuntukkan untuk melaksanakan projek loji rawatan air.
“Manakala, projek menggantikan dan membaik pulih sistem paip seluruh Sarawak pula diperuntukkan RM1.1 bilion,” katanya
Beliau berkata demikian pada perasmian Sarawak Water Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Abang Johari berkata, ini ditambah lagi dengan sistem grid bekalan air yang mencecah RM2 bilion serta projek-projek lain.
Sementara itu, beliau berkata penubuhan Sarawak Water Sdn Bhd merupakan langkah strategik bagi memastikan pengurusan bekalan air lebih menyeluruh dan mampan untuk rakyat serta industri di negeri ini.
“Kita mesti berfikir jauh ke hadapan, demi masa depan industri baharu yang memerlukan air,” katanya.
Justeru tegasnya, Sarawak mesti mempunyai sebuah entiti yang boleh menguruskan air untuk pengguna biasa, serta air untuk kegunaan industri.
