KUCHING: Pelancaran Sarawak Water Sdn Bhd (SWSB) yang dikenali sebagai Sarawak Water adalah detik bersejarah menyaksikan Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan LAKU Management Sdn. Bhd. (LAKU) digabungkan menjadi satu entiti.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Sarawak Water dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melalui SFS Incorporated.
Sarawak Water telah didaftar secara rasmi di bawah Akta Syarikat pada 26 Disember 2024 melalui penukaran nama LAKU Management Sdn. Bhd. kepada Sarawak Water Sdn. Bhd. sebagai platfom untuk mengabungkan ketiga-tiga entiti terbabit, katanya pada majlis pelancaran Sarawak Water oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.
Beliau berkata, perjalanan menuju penubuhan Sarawak Water bermula tahun 2020 dengan satu kajian terperinci dijalankan bagi menilai kebolehlaksanaan penggabungan kesemua entiti bekalan air sedia ada kepada satu entiti bekalan air.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) pula akan dikekalkan sebagai agensi Kerajaan Sarawak untuk mengurus pembinaan infrastruktur pembekalan air bersih khususnya ke kawasan luar bandar Sarawak, katanya.
Menurut Julaihi selepas sesi townhall dilaksanakan, sebanyak 97.12% iaitu seramai 1,214 kakitangan dari semua kategori/gred secara rasminya bersetuju menyertai Sarawak Water, manakala baki 2.88% bersamaan seramai 34 kakitangan memilih untuk terus berkhidmat dalam Perkhimatan Awam Sarawak.
Beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak telah meluluskan keseluruhan peruntukan sebanyak hampir RM6.0 bilion bagi melaksanakan projek bekalan air di Sarawak semenjak 2018 hingga sekarang.
“Bagi memenuhi keperluan segera bekalan air penduduk tempatan, kita juga melaksanakan loji rawatan air yang menggunakan inisiatif Acute Water Treatment Plant di kawasan yang mempunyai sumber bekalan air mentah yang mencukupi dan bersesuaian,” tegas beliau.
Setakat ini, katanya, liputan bekalan air di bandar melebihi 99%, berbanding liputan di luar bandar hanya mencapai 71% dengan keseluruhan liputan bekalan air di Sarawak adalah dianggarkan pada 85.6%.
“Saya percaya dengan pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak, kita akan dapat mencapai liputan bekalan air di Sarawak sepenuhnya menjelang tahun 2030.
“Namun, kita memerlukan lebih RM20 bilion lagi untuk mencapai sasaran liputan penuh tersebut. Di antara projek utama ialah projek pembinaan Loji Rawatan Air Landeh, projek bekalan air Nyabau, projek bekalan air Beluru, projek bekalan air Samalaju, projek bekalan air Trusan, projek bekalan air Lawas dan banyak lagi,” katanya.
