Isu keselamatan, keamanan Sarawak dibincang

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail di Astana Negeri Sarawak di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, CP Datuk Ibrahim Darus, Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato’ Mancha Ata serta pegawai kanan polis yang lain.

Pertemuan ini membincangkan pelbagai perkara semasa termasuk isu keselamatan dan keamanan di Sarawak, aspek keselamatan siber serta peranan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Selain itu, turut disentuh mengenai persetujuan Kerajaan Sarawak terhadap cadangan Tun untuk memperkukuh penghargaan serta kebajikan kepada bekas-bekas anggota polis, khususnya mereka yang pernah berkhidmat dalam usaha membanteras anasir komunis pada masa lalu.

Beliau turut menzahirkan harapan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus berkhidmat dengan penuh cemerlang, berintegriti serta dedikasi dalam memelihara keamanan dan keselamatan negara demi kesejahteraan rakyat.