SIBU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di Lapangan Terbang Sibu, petang tadi.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan diiringi oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.
Ketibaan TYT dan Toh Puan pada jam 3.40 petang, disambut oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS, Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Residen Bahagian Sibu, Abang Porkan Abang Budiman, Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid serta isteri Datin Hajah Dayang Mariani, ketua-ketua jabatan kerajaan serta wakil masyarakat dan kaum setempat.
TYT dan Toh Puan turut berkenan mengaminkan bacaan doa yang dipimpin Imam Bahagian Sibu, AlFadhil Ustaz Khairil Nazri Mohd Nizam.
Lawatan rasmi TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan kali ini adalah sempena Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak yang akan berlangsung di Sarikei pada 31 Ogos.
Selain itu, TYT juga dijadual melancarkan buku beliau dalam majlis anjuran UTS serta menyampaikan Statesman’s Lecture bertajuk “Understanding Governance through the Lens of Law and History” di universiti berkenaan.
