Betong bakal miliki prasarana sukan baharu

BETONG: Sebuah lagi prasarana sukan akan dibina berdekatan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Betong bagi memajukan sektor sukan dan pembangunan belia di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, prasarana tersebut Akademi Belia Betong dibina lengkap dengan kemudahan hostel dan fasiliti sebagai pusat latihan.

“Terima kasih Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia, meluluskan peruntukan RM200,000 untuk naiktaraf venue program kita hari ini iaitu Arena Futsal RTC Betong yang akan dilaksanakan JKR Betong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Layar Cycling Carnival (LCC) Edisi Ke-7 Tahun 2025 di Pentas Utama, Arena Futsal RTC Betong malam tadi.

Katanya, Betong kini berubah wajah selepas siapnya Lebuh Raya Pan Borneo yang menyediakan keterhubungan yang baik untuk pergerakan ke bandar besar lain seperti Kuching.

Mengenai karnival tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata ia pentas terbaik untuk mengetengahkan keindahakan Betong kepada orang luar.

Selain itu katanya, ia menjadi medan terbaik untuk mencungkil bakat baharu yang boleh dikentengahkan ke peringkat lebih tinggi kelak.

Seramai 275 peserta dari 30 pasukan mengambil bahagian pada edisi kali ini yang menawarkan hadiah keseluruhan RM51,260.