Dialog bersama komuniti Kuala Rajang untuk projek karbon biru

SARIKEI: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) menganjurkan dialog Bersama Komuniti untuk Projek karbon biru yang pertama di Dewan Lakin, Kpg Nyabor di sini, hari ini.

Dialog dianjurkan dengan kerjasama Worldview Climate Solutions (WCS) itu menghimpunkan wakil masyarakat setempat, pemimpin komuniti, agensi berkaitan dan rakan pelaksana projek di kawasan Kuala Rajang.

Ini bagi membincangkan peranan ekosistem karbon biru, khususnya hutan paya bakau, dalam memerangi perubahan iklim, disamping memperkukuh kesejahteraan sosio-ekonomi masyarakat.

Sementara itu, pembentangan daripada wakil WCS, Bridgette Philip, menekankan bahawa pemeliharaan ekosistem karbon biru bukan sahaja memberi impak positif kepada usaha mitigasi perubahan iklim, tetapi turut menyediakan peluang kepada masyarakat untuk membangunkan sumber pendapatan.

Memorandum perjanjian telah ditandatangani oleh LAKIKR dan WCS bagi seluas 10, 000 hektar kawasan paya bakau diamanahkan kepada WCS untuk kajian stok karbon bakau pada 11 September 2024.

Pelaksanaan projek akan melibatkan komuniti tempatan, sekali gus memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dalam kawasan projek.