KUCHING: Projek pembinaan Jambatan Sejingkat berjaya menyelesaikan isu teknikal yang timbul sebelum ini dan kini mencapai kemajuan sebanyak 54.77 peratus.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek tersebut mengalami kelewatan sekitar tiga peratus, tetapi pihaknya yakin projek jambatan sepanjang 1.28 kilometer (km) dan setinggi setinggi 26 meter (m) itu dapat disiapkan pada Mac 2026.
“Kami yakin mereka (kontraktor) boleh melakukannya, kerana bahan-bahan semuanya ada. Nampaknya tiada masalah besar,” katanya ketika melakukan lawatan tapak projek itu di sini hari ini.
Uggah berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bekerjasama dengan mereka untuk menentukan segala kerja yang akan dilakukan supaya jambatan ini dapat disiapkan pada Mac 2026.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, sebarang isu teknikal yang timbul sebelum ini berjaya diselesaikan dan kontraktor kini perlu menyusun semula jadual kerja agar pelaksanaan lebih tersusun.
Pada 11 Jun lalu, Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo ketika melawat tapak berkata, kelewatan telah berlaku ketika insiden runtuhan salah satu ‘form traveller’ di Pylon 8 ketika menjalani ujian beban (proof load test).
