Maulidur Rasul lambang cinta pada Nabi Muhammad SAW

MATU: Lebih 2,500 umat Islam memeriahkan sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M di pekan Matu hari ini yang diserikan dengan perarakan 30 kontinjen dan pertandingan sepanduk.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang mengetuai perarakan itu berkata, sambutan berkenaan bukan sahaja mengenang kelahiran Rasulullah SAW, malah mengukuhkan ukhuwah serta menyemai kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Tema tahun ini, Ummah Maju Makmur bertepatan dengan usaha melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak mulia dan hidup bersatu padu,” katanya pada majlis itu, hari ini.

Sementara itu, dalam pertandingan sepanduk, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro muncul juara Kategori A Terbuka dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000.

Ahmad Johnie merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran itu sambil berharap sambutan Maulidur Rasul terus diperluaskan sebagai wadah penyatuan masyarakat dan pengukuhan nilai kekeluargaan.