KABONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Kabong mendapat perhatian pelbagai pihak, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, menghulurkan sumbangan peribadi berjumlah RM1,000 bagi menampung kos operasi pencarian yang masih giat dijalankan sejak insiden berlaku 4 September lalu.
Turut menghulurkan sumbangan ialah Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) berjumlah RM1,000 hasil gabungan RM500 daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) dan RM500 daripada Geng Wharf Kabong.
Selain itu, sumbangan ALUMNI Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong berjumlah RM500 dan Persatuan Pesara Kabong (PEKA) sebanyak RM300. Semua sumbangan itu telah diserahkan kepada Penghulu Rahman @ Dom Kapok untuk disalurkan kepada pihak yang terlibat.
Bagi meringankan beban petugas barisan hadapan, Chee Kadir turut menyalurkan bantuan makanan berbungkus bernilai RM300 sehari sepanjang operasi berlangsung, serta sumbangan minyak petrol kepada anggota RELA yang terbabit dalam SAR.
Chee Kadir menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menunjukkan keprihatinan dan sentiasa mengikuti perkembangan operasi melalui agensi berkaitan.
Dalam pada itu, semalam polis telah mengesahkan jasad yang ditemui kira-kira jam 9.58 pagi sejauh 3.4 batu nautika di perairan Kabong telah dikenal pasti mayat Tuah Bujang, 57, seorang nelayan dari Kampung Hilir Kabong, setelah disahkan oleh Jabatan Forensik Hospital Saratok dan ahli keluarga mangsa.
Operasi SAR telah diteruskan selepas itu dengan tumpuan pencarian anak mangsa Muhammad Aiman Tuah, 24, yang masih gagal ditemui sehingga kini.
